Monday 27 August 2012

SALAM KEMERDEKAAN YANG KE 55

Kepada pelajar yang disayangi, sila layari website ini : http://www.malaysiamerdeka.gov.my

SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA!!! HARGAILAH KEMERDEKAAN YANG KITA KECAPI HARI INI... ANDALAH PEWARIS MASA DEPAN NEGARA....

PEJUANG KEMERDEKAAN

Pejuang Kemerdekaan

Antanom

Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915. Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan "Masinpunon" sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah " Pengayau ".

Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya.
Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman.

Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu.

Faktor yang menyebabkan tercetusnya penentangan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris didorong oleh beberapa sebab yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang Inggeris sudah dimulakan oleh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya terbunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu terhenti buat sementera waktu.

Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu.

Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala. Seramai tidak kurang 900 orang kaum Murut dari beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau, Pensiangan dan perbatasan daerah Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Dalam pertempuran di kubu induk mereka, Antanom/Ontoros diperdaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai, tetapi sebaliknya mata-mata upahan Inggeris telah memenggal kepalanya.

Haji Abdul Rahman Abdul Hamid

Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong merupakan salah satu nama besar dalam sejarah Melayu Terengganu.

Selain memimpin gerakan yang dikenali sebagai "Pemberontakan Tani Terengganu", Tok Limbong juga terkenal sebagai seorang ulama dan pendakwah yang dihormati, ahli perniagaan dan pengusaha yang berjaya dan seorang petani yang gigih.

Beliau juga pernah tampil untuk membela sekumpulan pejuang yang dilabel Inggeris sebagai pemberontak dan penderhaka raja. Tok Limbong mendalami ilmu keagamaan selepas dihantar oleh keluarganya ke Mekah.

Sebelum terbabit dengan kebangkitan penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala Terengganu.

Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud, penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau itu dengan nama "Telaga Limbong" kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu.

Pembabitan Tok Limbong dalam penentangan terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921.

Di bawah peraturan itu rakyat ditegah menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya.

Tok Gajah

Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata.

Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.

Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan.

Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)
 
SUMBER : http://www.malaysiamerdeka.gov.my

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM

Hari ini merupakan hari pertama PPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2012... Jadual peperiksaan pagi ini ialah kertas Bahasa Melayu 1.... Semoga pelajar dapat menjawab soalan dengan tenang.

ALL THE BEST....

Sunday 26 August 2012

ERTI KEMERDEKAAN

Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara.

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.

Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden.

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.
 
SUMBER : http://www.malaysiamerdeka.gov.my/v2/ms/sejarah/sejarah-kemerdekaan

SAMBUTAN KEMUNCAK KEMERDEKAAN

Salam kemerdekaan....

Hari khamis ini akan diadakan sambutan kemuncak kemerdekaan... aktiviti akan diadakan di dewan besar... nanti cikgu updatekan pengisian program tersebut nanti....

SALAM KEMERDEKAAN....

PERCUBAAN SPM 2012

Salam sejahtera dan selamat hari raya.....

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan selepas kita bercuti seminggu menyambut hari raya. Esok pelajar tingkatan 5 akan menduduki peperiksaan  percubaan SPM. Diharap agar para pelajar bersedia dan dapat menjawab peperiksaan dengan tenang. Sila jaga kesihatan anda....

SEMOGA BERJAYA!!!!

Sunday 12 August 2012

SELAMAT HARI RAYA

Tujuh Tips Peperiksaan
Peperiksaan adalah medan ujian bagi setiap orang, tak kira kecil atau besar. post kali ini menekankan lagi tips peperiksaan dan fokus kepada persediaan menghadapi peperiksaan.antaranya:
1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada 3 perkara yang perlu diamalkan calon bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, rajin,kuat dan tambahkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah/ipt/rumah/asrama, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja anda berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda akan jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa sihat dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di kelas mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah/asrama. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

semoga tips yang diberikan sedikit sebanyak membantu anda menghadapi peperiksaan dengan tenang. kata-kata motivasi: "Usaha Tangga Kejayaan"
salam sukses!

Sumber : http://www.tipspeperiksaan.info

 
Doa Hari Peperiksaan
Doa ketika masuk dewan peperiksaan

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

Doa Menerima Kertas Soalan

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”

Doa ketika sukar menjawab soalan

Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

Doa Jika Anda Terlupa Jawapan


Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku"
Selamat sejahtera....

Kita telah tiba di penghujung Ramadhan.  Semoga kita berkesempatan untuk menambah amal ibadat dalam bulan yang penuh keberkatan ini.  Kepada pelajar tingkatan 3 yang baru sahaja menempuhi peperiksaan percubaan PMR yang lalu, diharap agar anda tidak leka dan teruskan ulangkaji untuk PMR.  Kepada pelajar tingkatan 5 pula, peperiksaan percubaan anda adalah selepas hari raya iaitu pada 29 Ogos. Jadi jangan terlalu seronok berhari raya.... Ingat pengorbanan hari ini, penentu masa depan anda.... Sila pastikan setiap hari anda mengungkaji pelajar dan membuat latihan... Sila pastikan juga aktiviti 'laman sosial' anda dikurangkan, kerana ianya boleh menjejaskan tumpuan anda dalam mengulangkaji.

Dikesempatan ini cikgu ingin mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin.. Dalam kita bergembira di hari raya, jangan lupa pada mereka yang tidak upaya untuk menyambut aidilfitri.. Jangan lupa menziarahi kubur sanak saudara kita yang telah meninggal dunia. Sedekahkan alfatihah kepada mereka.... Rajin-rajinlah menolong ibu dan ayah kita mengemas rumah untuk menyambut hari raya... Jangan bermain mercun.. bahaya!!!!... Cikgu doakan anda semua selamat tiba di destinasi kampung masing-masing.. Jangan makan banyak sangat.. hi hi.. nanti berat badan bertambah...

SELAMAT HARI RAYA!!!!!!!!!!!

Wednesday 1 August 2012

Salam sejahtera dan selamat pagi....

Hari ni merupakan hari kedua percubaan PMR.  Pagi ini ialah peperiksaan English paper 1 & paper 2 dan juga kertas Sains Paper 2.... Semoga pelajar dapat menjawab dengan tenang dan gunakan masa dengan sebaiknya.... Kepada yang lemah bahasa inggeris, cikgu cadangkan untuk beli buku rujukan essay di mana pelajar boleh merujuk tentang 'guided composition', 'summary' dan 'literature'.... Good luck!!!!